May 16, 2024

Nikmat Naik MRT

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog. Kali ini aku nak bercerita pasal MRT. Rasa macam aku tak pernah lagi cerita pasal tren di Lembah Klang sejak aku bermastautin di sini pada tahun 2011. Maklumlah, waktu bujang dulu aku guna motor je untuk ke tempat kerja. Lebih cepat dan fleksibel berbanding kereta, senang nak cilok kalau jalan jem. Lepas tu, tempat kerja aku dulu pun memang tiada stesen LRT yang berdekatan pun jadi tak guna juga lah kalau naik LRT.

Dipendekkan cerita, lokasi tempat kerja aku yang sekarang ni agak menarik la. Dari sini, boleh tengok Menara TRX sampai muntah. Lebih kurang dalam 1 km jarak di antara sesama mereka. Yang bestnya pula, terdapat stesen MRT yang dibina di sana, membolehkan aku merasai nikmat tak payah bawak motor atau kereta hadap suasana di jalan pada waktu pagi.

Tren MRT Laluan Putrajaya.
Apa yang aku faham, stesen MRT TRX ni pada asalnya dah lama wujud dan beroperasi bila MRT Laluan Kajang mula dibuka. Sebelum wujudnya Laluan Putrajaya, aku memang dah guna MRT Laluan Kajang cuma time tu agak leceh sikit la sebab aku duduk nun jauh di kawasan Kuala Langat dan ada beberapa stesen yang perlu ditukar sebelum sampai ke TRX. Time ni kawasan dalam stesen untuk Laluan Putrajaya sedang dalam pembinaan dan hari-hari aku kena hadap bau simen dan tanah..haha

Lepas Laluan Putrajaya ni dibuka, hidup jadi lebih tenang sebab aku hanya perlu park kereta di Putrajaya Sentral dan naik MRT dari sini terus ke TRX tanpa perlu tukar stesen. View pun agak menarik juga sebab dapat tengok Plaza Tol Sungai Besi, lokasi di mana umat manusia dari serata lokasi tertumpu meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Ni pemandangan di sekitar Putrajaya.
Seperti yang aku kata tadi, nikmat tak payah bawak motor atau kereta. Tempoh perjalanan dari stesen Putrajaya Sentral ke TRX guna MRT ni dianggarkan lebih kurang sejam la dan ada dalam 13 stesen di antaranya. Sementara nak tunggu sampai ke destinasi, aku boleh nap sebentar atau perati ragam manusia sambil dengar lagu dari MP3.
Dah sampai. Jalan kaki menuju ke destinasi.
Sampai je di TRX, aku hanya perlu meneruskan perjalanan ke tempat kerja dengan berjalan kaki. Sementara tu, singgahlah di gerai nasi lemak berdekatan stesen membeli nasi lemak sambal extra dengan telur mata sebungkus buat juadah sarapan pagi. Aku sampai opis dalam keadaaan hati yang tenang, cukup rehat dan bedal nasi lemak di awal pagi. Nikmatlah tu.

Habis waktu kerja pulak, pun sama. Berjalan kaki ke stesen MRT TRX dan tunggu tren sampai. Cuma bila nak balik ni, bukan aku je la yang nak balik. Start pukul 4 tu masih ok lagi la cuma disebabkan stesen TRX ni juga merupakan salah satu stesen untuk Laluan Kajang, kalau kena timing dia ya Allah, boleh padat tren ke Putrajaya. Aku patut buat 1 video kot momen pintu MRT Laluan Kajang tu dibuka sampailah tren aku mula bergerak..haha. Sebab dia macam acara larian, pintu tren tu kira macam starting line la. Bila dia buka je, ramai mula pecut keluar dari tren dan masuk ke tren ke Putrajaya.

Ok start dari pintu hijau, garisan penamat dia pintu kuning.
Secara keseluruhannya, menaiki tren ni bagi aku nikmatnya dari segi mental la. Aku tak perlu serabut kepala kena bangun awal semata-mata nak kena redah lebuhraya yang kalau lambat sikit je dia punya jem tak boleh bawak bincang la. Sampai je di stesen, naik tren dan aku boleh nap untuk merehatkan badan sebelum hadap di tempat kerja.

Of course, naik tren ni pun boleh jadi aku lambat sampai ke opis sebab kena ikut jadual waktu tren. Selalu jugak la kena tunggu 15 minit penuh sebab tren dah gerak sementara aku berlari di eskalator, kejar pintu tren.

Comments