Khutbah kali ini agak menarik juga kerana khatib membincangkan perihal kaum perempuan yang diangkat darjatnya selepas kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. Semasa zaman jahiliah, kaum perempuan dianggap membawa sial dan musibah buruk kepada keluarganya. Tidak hairanlah seorang perempuan yang baru dilahirkan akan dibunuh hidup-hidup kerana tidak mahu mendapat sial daripada bayi perempuan itu. Manakala perempuan yang dewasa pula akan diperkosa dan dianggap sebagai barang murahan yang boleh dibuat apa sahaja demi kepuasan nafsu kaum lelaki. Kaum perempuan semasa zaman jahiliah teramat rendah darjatnya sehingga tiada tempat untuk dilindungi. Keluarga sendiri tidak mengiktiraf kaum perempuan ini.
Tetapi, selepas kedatangan Islam, kaum perempuan diangkat darjatnya sehingga setaraf dengan kaum lelaki dalam banyak perkara. Mereka juga mendapat haknya seperti juga kaum lelaki. Secara umumnya, nasib kaum perempuan selepas kedatangan Islam amat dibela dan dilindungi kerana mereka juga manusia seperti kaum lelaki. Jika dilihat pada masa kini, kaum perempuan banyak mendominasi dalam beberapa bidang yang sebelum ini dikuasai oleh kaum lelaki seperti pendidikan, pengurusan dan juga perindustrian. Jumlah pelajar perempuan di kebanyakkan universiti juga membuktikan mereka sudah mula menguasai bidang yang sebelum ini dikawal oleh kaum lelaki.
Namun begitu, mereka harus ingat yang Allah s.w.t menciptakan kaum perempuan bukanlah sekuat kaum lelaki, boleh mengharungi segala cabaran. Mereka perlulah dilindungi dan dijaga supaya mereka tidak ditindas oleh mana-mana pihak yang tidak berpuas hati mahupun ingin melihat hidup seseorang perempuan itu hancur. Kaum lelaki perlulah bertanggungjawab dalam melindungi kaum perempuan supaya setiap orang akan mendapat keuntungan. Kaum perempuan pula, hendaklah menghormati kaum lelaki yang melindunginya, bukan memperlekehkan atau menindas kaum lelaki.
Comments
*suka2!